Search

Polis Sabah siasat 93 kes tatatertib pegawai dan anggotanya tahun lalu

February 9, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis Sabah membuka sebanyak 93 kertas siasatan tatatertib membabitkan pegawai dan anggota polis sepanjang 2023.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, daripada jumlah itu, 67 kertas siasatan selesai manakala 26 lagi dalam siasatan.

“Sebanyak 55 kertas siasatan telah diambil tindakan seperti amaran, denda, lucut hak emolumen (hukuman yang dijatuhkan terutama buang kerja ataupun turun pangkat), tangguh pergerakan gaji dan turun gaji.

“Selebihnya diberi teguran dan tiada tindakan lanjut (NFA),” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan IPK Sabah, di sini, hari ini.

Jauteh berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIP) Kontinjen Sabah telah mengambil berbagai tindakan termasuk buang kerja terhadap pegawai dan anggota yang melakukan kesalahan.

“Kita tidak mahu melindungi (pegawai dan anggota polis yang melakukan kesalahan) dan mulai daripada sekarang, janganlah, buat salah, salah lah sebab ini lah parasit dalam PDRM.

“Mana-mana pegawai dan anggota yang melakukan kesalahan tidak akan terlepas dan kita akan ambil tindakan sama ada melalui kertas siasatan jenayah mahupun kertas siasatan tatatertib,” katanya.

Sementara itu, berkaitan dengan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI), Jauteh berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat lengkap untuk melaksanakan operasi membanteras PATI di negeri  ini.

“Operasi PATI akan dilaksanakan dalam masa terdekat selepas perincian segala maklumat telah kita kumpul dan sudah tiba waktunya kita melaksanakan satu kerjasama membabitkan semua agensi keselamatan di negeri ini.

“Sehingga kini, kita telah mengenal pasti sebanyak 538 koloni setinggan di Sabah. Sebahagian besar daripada tempat-tempat ini dihuni sepenuhnya oleh PATI dan sebahagian lagi bercampur,” katanya. – Info X