Search

Aktiviti ‘paragliding’ bertukar detik cemas, lelaki warga Korea tersangkut di pokok

January 28, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Korea berdepan detik cemas apabila tersangkut pada di atas pokok ketika melakukan aktiviti sukan luncur udara (paragliding) di Bukit Kokol, Manggatal, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, Cha Woo Sung yang berusia lingkungan 50 tahun ditemukan tersangkut di atas pokok setinggi 50 meter sebelum diselamatkan pasukan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.51 tengah hari.

Katanya, mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melakukan luncur udara dan tersangkut pada pokok setinggi 50 meter.

Pasukan bomba menjalankan operasi menurunkan mangsa yang tersangkut pada pokok setinggi 50 meter ketika melakukan aktiviti paragliding di Bukit Kokol, Manggatal, Kota Kinabalu. – Foto/Bomba

“Pasukan bomba dari BBP Lintas bertindak ke lokasi mangsa bersama pemanggil sejauh satu kilometer lebih dari kawasan mangsa mula berlepas.

“Setibanya di lokasi mangsa, pasukan bomba menjalankan operasi penyelamatan dengan menggunakan sistem lowering untuk menurunkan mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba mengambil masa kira-kira 40 minit untuk membawa turun mangsa.

Mangsa dalam keadaan selamat selepas dibawa turun oleh pasukan bomba dari BBP Lintas. – Foto/Bomba

“Mangsa dalam keadaan selamat dan operasi ditamatkan pada jam 4.50 petang,” katanya. – Info X