Search

Rangka manusia ditemui di Bukit Tukok

January 28, 2024

Info X Reporters

KALABAKAN: Satu rangka manusia ditemui di Jalan Ladang Bukit Tukok, di sini, hari ini.

Rangka terbabit ditemui dalam keadaan terlentang oleh penyelia ladang sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis, kira-kira jam 9.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati penyelia ladang terbabit dimaklumkan oleh pekerjanya selepas terhidu bau yang sangat kuat.

“Susulan itu, penyelia ladang dan beberapa pekerja tiba di lokasi dan menemui mayat tidak dikenali dalam keadaan terlentang.

“Mayat terlihat tulang rusuk serta cebisan baju, seluar dan beg silang berhampiran mayat terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rangka manusia ditemui dalam keadaan terlentang di Jalan Ladang Bukit Tukok, Kalabakan, Tawau.

Menurutnya, mayat terbabit sudah dibawa ke Hospital Tawau untuk bedah siasat.

“Setakat ini identiti mayat belum dikenal pasti dan bedah siasat dijalankan esok bagi mengetahui punca sebenar kematian.

“Siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya. – Info X