SANDAKAN: Hujan lebat berterusan sejak pagi tadi mengakibatkan beberapa kawasan di daerah ini termasuk di kawasan bandar dilanda banjir kilat.
Keadaan itu menyebabkan banyak kenderaan di beberapa kawasan dilanda banjir terkandas hingga menjejaskan pergerakan trafik dan operasi menyelamat.
Akibat banjir itu juga, tiga kanak-kanak dan seorang wanita dilaporkan terperangkap di Batu 12, di sini, kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.49 petang.
Katanya, seramai tiga anggota dan jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi membantu mangsa terperangkap.

“Operasi menyelamat turut dibantu pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan.
“Pasukan penyelamat bertindak menjalankan operasi memindahkan empat mangsa yang terperangkap di dalam rumah akibat banjir di kawasan kediaman mereka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Severinus berkata, pihaknya turut menerima panggilan kecemasan bencana banjir di Jalan Kampung Gum-Gum, Batu 16, di sini.
“Terdapat sebuah bas mini yang membawa pelajar sekolah telah terperangkap di atas jalan raya yang dinaiki air, namun berjaya ditunda oleh lori.
“Semua pelajar terbabit dilaporkan selamat dan seterusnya pasukan bomba membuat pemantauan di kawasan yang dinaiki air,” katanya. – Info X