TAWAU: Isu blok Ambalat yang terletak di perairan strategik Laut Sulawesi, bersebelahan Kalabakan dan Tawau, bukan sekadar perbatasan maritim antara dua negara, tetapi kini menjadi simbol harapan baharu untuk masa depan rakyat pantai timur Sabah.
Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop, menyambut baik usaha diplomasi dua hala antara Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Republik Indonesia untuk meneroka potensi pembangunan bersama di kawasan kaya dengan sumber minyak dan gas itu.
Katanya, pendekatan baharu terhadap Ambalat harus memfokuskan kepada nilai pembangunan rakyat, bukan dijadikan modal polemik politik sempit yang hanya merugikan rakyat tempatan.
“Isu Ambalat bukan isu sensasi politik. Ia peluang emas yang wajib dimanfaatkan untuk menjana masa depan lebih cerah kepada warga Kalabakan dan Tawau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, UMNO Kalabakan menyeru supaya sebarang pelaburan atau aktiviti eksplorasi di Ambalat memberi keutamaan kepada anak tempatan.
“Ia termasuk menyediakan peluang pekerjaan dalam industri minyak dan gas, latihan teknikal dan TVET, serta penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan industri.
“Kami tidak mahu rakyat kami sekadar menjadi pemerhati. Mereka adalah pemegang kepentingan sah yang mesti diberi tempat dalam sebarang struktur pembangunan dan pentadbiran Ambalat,” katanya.
Samasuddin turut menekankan pentingnya kerajaan Sabah dan wakil rakyat Pantai Timur dilibatkan secara langsung dalam sebarang rundingan atau pelaksanaan projek pembangunan berkaitan kawasan itu.
“Kita menyatakan sokongan terhadap usaha diplomatik yang mengukuhkan hubungan serantau, namun tegas menolak sebarang bentuk pengabaian terhadap hak Sabah dalam perkara ini.
“Sebagai langkah proaktif, kita mencadangkan agar menubuhkan sebuah Unit Pembangunan Pantai Timur Sabah di bawah agensi seperti PETRONAS atau Kementerian Ekonomi bagi memastikan limpahan manfaat projek Ambalat sampai ke peringkat akar umbi.
“Kami tidak mahu Sabah, khususnya Kalabakan dan Tawau, sekadar menjadi laluan keluar hasil negara. Sudah tiba masanya hak dan suara rakyat Pantai Timur diperkasa,” katanya.
Samasuddin menegaskan komitmen UMNO Kalabakan untuk kekal berada di barisan hadapan dalam memperjuangkan keadilan pembangunan untuk rakyat kawasan itu.
“Kami menolak retorik. Kami memilih pendekatan rasional dan strategik demi rakyat Kalabakan, demi Tawau, dan demi Sabah secara keseluruhan,” katanya. – Info X