Search

Tiga kandang ayam terbakar, sebelum sempat ayam ‘check in’

July 4, 2025

Info X Reporters

PAPAR: Tiga blok kandang ayam di Kampung Kelatuan di sini terbakar malam tadi, namun tiada ayam berada di dalamnya ketika kejadian berlaku.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, sebuah blok musnah sepenuhnya manakala dua lagi terbakar kira-kira 10 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Penolong Penguasa Bomba Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.13 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

“Kebakaran membabitkan tiga blok struktur tidak kekal. Sebuah daripadanya terbakar 100 peratus, manakala dua lagi hanya 10 peratus.

Kandang ayam yang terbakar di Kampung Kelatuan, Papar. – Pix/Bomba

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dengan dua pancutan air dari jentera bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga kandang itu masih kosong dan difahamkan pemilik baru bercadang memasukkan ayam ke dalamnya hari ini.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, sementara operasi ditamatkan sepenuhnya jam 9.44 malam,” katanya. – Info X