KUALA PENYU: Sebuah ambulans swasta yang membawa pesakit dilaporkan terbabas dalam parit di Jalan Kuala Penyu, Kampung Binsulok, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, ambulans dinaiki tiga individu termasuk seorang pesakit dari Labuan menuju ke hospital swasta di Kota Kinabalu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 2.17 petang.
Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu bersama jentera digerakkan ke tempat kejadian.
“Terdapat tiga mangsa terbabit dalam kemalangan dilaporkan dalam keadaan selamat.
“Semua mangsa dibawa ke Hospital menaiki ambulans dan kenderaan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, tindakan pasukan bomba membuat pemeriksaan di kawasan kemalangan bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pada 2.42 petang. – Info X