KOTA KINABALU: Kakak tiri Allahyarham Zara Qairina Mahathir mendedahkan lima tangkap layar mesej Facebook berkaitan pertengkarannya dengan ibu tiri, Noraidah Lamat, ketika memberi keterangan pada prosiding inkues kematian remaja itu, hari ini.
Malianah Mahathir, 25, berkata, tangkap layar berkenaan diterimanya daripada bapanya selepas dia bertengkar dengan Noraidah menerusi Facebook ketika berusia 13 tahun.
“Bapa saya yang ‘screenshot’ dan dia juga yang hantar kepada saya. Jadi saya simpan sampai sekarang.
“Bapa hantar ‘screenshot’ ini sebab dia tanya kenapa saya bergaduh dengan Mama Zara,” katanya.
Saksi ke-81 itu berkata demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Mohd Fairus Johari di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Menurut Malianah, dia tidak dapat memastikan tahun mesej berkenaan dihantar, namun antara tarikh yang tertera pada tangkap layar itu ialah 11 Jun, 21 Ogos dan 5 September.
Katanya, ketika itu dia tidak memiliki gajet sendiri dan hanya dapat mengakses akaun Facebook berkenaan pada masa tertentu menggunakan peranti milik ahli keluarganya.
“Saya tidak pasti tahun bila, tapi masa itu saya 13 tahun,” katanya.
Ketika disoal peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara, Malianah mengakui bahawa dia hanya membuat andaian bapanya yang membuka akaun Facebook menggunakan nama Zara.
Menurutnya, andaian itu dibuat kerana bapanya turut membuka akaun Facebook untuk dirinya dan tiga adik-beradiknya.
Malianah turut mengakui beberapa perkataan dalam mesej yang didakwanya ditulis Noraidah adalah perkataan yang lazim digunakan golongan muda.
Bagaimanapun, Malianah tetap dengan keterangannya bahawa dia yakin mesej berkenaan ditulis Noraidah berdasarkan pengalamannya pernah tinggal bersama ibu tirinya itu.
“Saya pasti 100 peratus itu Ibu Zara sebab saya pernah tinggal bersama dia, dan perkataan ‘anak haram’ itu selalu keluar daripada mulut dia sewaktu saya tinggal bersama dia.
“Jadi saya memang sangat pasti ini dia,” katanya.
Terdahulu, Malianah turut membacakan kesemua mesej yang terkandung dalam lima tangkap layar berkenaan di mahkamah.
Zara, 13, ditemukan di bawah bangunan asramanya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.
Jenazahnya kemudian digali semula pada 9 Ogos 2025 sebelum bedah siasat dilakukan pada 10 Ogos di Jabatan Perubatan Forensik HQE.
Pada 20 Ogos 2025, lima remaja bawah umur yang menggunakan nama samaran Pelajar A, B, C, D dan E didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak atas pertuduhan mencela Zara.
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan perbicaraan kes berkenaan masih berjalan. – Info X