Search

Anak syarikat catat kerugian bakal ditutup – Masiung

January 21, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Anak syarikat di bawah Kumpulan SEDCO berdepan kemungkinan ditutup jika gagal mencapai keuntungan dalam tempoh setahun.

Perkara itu dijelaskan pengerusinya, Datuk Masiung Banah ketika mengulas mengenai prestasi anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.

“Jika kita pertahankan syarikat yang rugi dan membebankan agensi induk, umpama kita bermain bola ‘gol sendiri.’

“Kita mau lihat prestasi mereka, sama ada sasaran tercapai atau tidak. Jika tidak tercapai kenapa ?Jika tercapai kita perlu pertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Amanat Pengerusi dan Pengurus Besar Kumpulan SEFCO, di sini, pada Selasa.

Hadir sama Timbalan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Azrul Ahmad.

Masiung berkata, syarikat yang gagal mencapai sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) perlu mengemukakan pelan tindakan bagi memperbaiki prestasi dan kedudukan kewangan semasa.

Mengulas lanjut, beliau bersama pengurusan tertinggi SEDCO kini sedang dalam proses menilai Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat di bawah Kumpulan SEDCO mengenai keberkesanan gerak kerja mereka.

“Walaupun setakat ini belum ada laporan serius mengenai salah laku korporat dalam struktur melibatkan anak-anak syarikat, namun operasi mereka harus dipantau setiap tiga bulan.

“Saya bukan saja memberi arahan tetapi saya akan turun ke lapangan dari semasa ke semasa bagi memantau operasi anak-anak syarikat ini,” katanya.

Katanya, terdapat kira-kira 23 anak syarikat dalam pelbagai industri yang bernaung di bawah Kumpulan SEDCO ketika ini.

Jelasnya, tiga syarikat akan menjadi tumpuan utama tahun ini bagi menjana rantaian ekonomi negeri iaitu SEDCO Mining Sdn Bhd, projek Kudat Blue Ekonomy Park dan Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd. – Info X