KOTA KINABALU: Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah diibaratkan sebagai satu penantian tidak berpenghujung yang kini dihadapi rakyat Sabah berikutan kelembapan prestasi projek mega itu.
Perkara itu dibahaskan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah ketika membahaskan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong pada Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen Kuala Lumpur, pada Selasa.
Beliau berkata, projek yang sudah lama dilaksanakan itu seolah-olah tidak berpenghujung kerana belum siap hingga menyebabkan pelbagai kesan buruk kepada rakyat.
“Jalan yang sepatutnya menjadi nadi kemajuan, hari ini menjadi kisah penantian; tidak siap-siap, tersangkut-sangkut, lencong sana-sini, lubang-lubang ditampal tampal, seperti luka lama yang hanya disapukan bedak, bukan dirawat hingga sembuh.
“Ada pakej yang telah dianugerahkan tetapi belum bergerak, ada yang telah bermula tetapi belum berakhir dan lebih menyedihkan, ada pula pakej yang belum ‘beraward’, seolah-olah masa di Sabah berjalan lebih perlahan daripada pusingan jarum jam di tempat lain,” katanya.
Projek LPB Sabah dimulakan kira-kira 10 tahun lalu dengan pakej pertama bermula dari sempadan Sabah-Sarawak di Sindumin hingga ke Kampung Melalia, Sipitang, disusuli pakej kedua dari Kampung Melalia hingga ke Beaufort dengan jarak keseluruhan 62 kilometer.
Bagaimanapun, sehingga kini kedua-dua jajaran itu belum siap dan lebih teruk apabila laluan sedia ada rosak disebabkan pembinaan LPB hingga menjejaskan keselesaan pengguna.

Matbali berkata, jika dibandingkan dengan negeri jiran Sarawak, projek LPB di negeri itu yang dilaksanakan serentak dengan LPB Sabah kini sudah siap sepenuhnya
“Jiran kami yang bermula pada tahun yang sama, kini jalannya lurus-lurus dan mulus-mulus, dari Teluk Melano hingga ke Lawas, menjadi kebanggaan rakyatnya.
“Sebagai Ahli Parlimen Sipitang, saya ingin mendapatkan penjelasan khusus mengenai status terkini di kawasan saya, iaitu jajaran Sipitang–Beaufort, melibatkan WP01 Sindumin-Melalia dan WP02 Melalia-Beaufort yang menjadi urat nadi kehidupan harian rakyat;yang saya wakili.
Isu itu katanya sudah berulang kali dibangkitkan di Dewan Rakyat, namun sehingga kini belum ada penghujung.
“Isu ini telah saya bangkitkan saban tahun di Dewan Yang Mulia ini. Orang kampung saya bilang, ‘sudah berbuih-buih kitani bekurapak sampaikan belagu di Parlimen, tapi macam inda jua kedengaran,” katanya.
Berdasarkan laporan sebelum ini, prestasi kerja LPB di jajaran Sindumin-Melalia yang membabitkan kos lebih RM530 juta baru mencapai kira-kira 87 peratus, manakala 61 peratus di jajaran Melalia-Beaufort yang membabitkan kos lebih RM941 juta.
Setakat ini baru empat daripada 12 pakej LPB Sabah Fasa 1A yang siap iaitu Donggongon-Papar, Tawau-Semporna, Lahad Datu Bypass dan Kampung Lot M-Batu 32 Sandakan. – Info X