Search

Anak ugut bakar ibu, menantu ditahan

April 15, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Hanya kerana ditegur pulang lewat malam, seorang lelaki tergamak mengugut untuk membakar serta memukul ibu kandungnya yang berusia kira-kira 80 tahun dalam kejadian di Kampung Sungai Imam, di sini.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berada di rumah menegur anak lelakinya yang kerap pulang lewat, namun teguran berkenaan menimbulkan kemarahan suspek.

Situasi menjadi tegang apabila lelaki terbabit didakwa mengugut untuk mencederakan mangsa dan menantunya sehingga menyebabkan warga emas itu ketakutan.

Bimbang keselamatan diri dan ahli keluarga, mangsa kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran.

Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sebelum menjalankan operasi mengesan suspek.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau bersama Balai Polis Bombalai berjaya mengesan dan menahan suspek di kawasan Jalan Perikanan Kampung Sungai Imam.

“Suspek lelaki tempatan berusia 49 tahun itu kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semakan rekod lampau mendapati suspek pernah ditahan dan dihukum di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan sebelum ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya. – Info X