PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk di Jalan Bundusan, di sini, awal pagi tadi.
Dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu, suspek ditahan selepas pemeriksaan mendapati kandungan alkohol dalam badannya melebihi had dibenarkan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Erwansyah Abdul Basir berkata, lelaki terbabit ditahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda tidak kurang RM10,000 hingga RM30,000 serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, dalam operasi sama, polis turut mengeluarkan enam saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

“Operasi diketuai Ketua BSPT IPD Penampang, Inspektor Rozami Ahmad bersama tujuh anggota.
“Sepanjang operasi, seramai 57 individu dan 52 kenderaan diperiksa,” katanya.
Beliau berkata, operasi berkenaan dilaksanakan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang serta meningkatkan tahap keselamatan di daerah ini. – Info X