KOTA KINABALU: Kawasan pasar yang menempatkan gerai jualan produk mutiara dan kraftangan, ikan masin, buah-buahan, pasar am dan pasar malam di Sinsuran, di sini, dijenamakan semula sebagai Anjung Kinabalu.
Penjenamaan semula kawasan tumpuan pengunjung, termasuk pelancong asing itu diumumkan pada pelancaran kempen Harum Kinabalu anjuran bersama PUSPANITA Cawangan Sabah, PUSPANITA Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), hari ini.
Turut dijenamakan semula ialah nama pasar yang ada di kawasan itu, iaitu pasar malam, kini dikenali sebagai D’Walai Suri, diikuti pasar kraftangan (D’Walai Mutiara), Pasar Sinsuran (D’Walai Cincin), pasar buah (D’Walai Haruman) dan pasar ikan masin (D’Walai Matabiru).
Kempen Harum Kinabalu yang dilaksanakan selama sebulan hingga 6 Julai depan adalah idea Pengerusi PUSPANITA Sabah, Datuk Dr Nuinda Alias bertujuan mewujudkan persekitaran yang bersih, ceria dan selamat untuk dikunjungi di samping meningkatkan kesedaran masyarakat setempat dan pemilik premis mengenai kepentingan kebersihan.

Program itu disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong yang mengumumkan penjenamaan semula kawasan berkenaan sebagai Anjung Kinabalu.
Sementara itu, mengulas perubahan nama berkenaan, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah, berkata penjenamaan itu sebagai kesinambungan kawasan sedia ada di bandar raya ini seperti Anjung Senja dan Anjung Selera.
“Nama Kinabalu pula diambil seiring dengan unsur yang ada di Sabah iaitu Gunung Kinabalu yang turut dikenali oleh semua rakyat di negara kita,” katanya.
Katanya, penjenamaan itu juga bagi membolehkan pengunjung dan pelancong dapat mengenali kawasan berkenaan dengan identiti tempatan yang lebih menarik.

Kawasan berkenaan sebelum ini turut dikenali sebagai Pasar Filipina berikutan pernah dijadikan tapak Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) sebagai lokasi perlindungan pelarian perang dari Filipina pada 1970-an. – Info X