SIPITANG: Pakej Kerja 1 (WP01) Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah menghubungkan Sindumin dengan Kampung Melalia, di sini, masih gagal disiapkan walaupun syarikat kontraktornya sudah empat kali memohon lanjutan masa.
Berikutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menilai semula pencapaian projek yang dilaksanakan syarikat kontraktor terbabit, termasuk menukarnya dengan syarikat lain.
Beliau berkata, projek pembinaan di laluan berkenaan bermula pada 3 Disember 2019 dengan kos RM483 juta dan sepatutnya disiapkan dalam tempoh 24 bulan iaitu pada 3 Disember 2021.
Bagaimanapun, katanya sehingga ke hari ini, pembinaan di laluan terbabit hanya mencapai 74 peratus, malah kontraktor dilantik iaitu Juta Hajat dan Syarikat Kumpulan Kemajuan KK (Sabah) JV Sdn Bhd masih memohon untuk lanjutan masa.
“Kontraktor itu sudah empat kali memohon lanjutan masa iaitu pertama selama 70 hari, kedua (220 hari), ketiga (730 hari) dan keempat (267 hari), lalu dikaji semula untuk disiapkan pada 12 Jun 2025.
“Kita nampak banyak betul kelewatan di sini, jadi kita meminta JKR dan pihak konsultan supaya membuat intervensi menyelesaikan masalah ini. Jika penilaian JKR ikut prestasi lalu, maka kontraktor ini sudah empat kali membuat lanjutan masa, menunjukkan kemampuan kontraktor ini sukar untuk menyiapkan projek itu.
“Saya bagi pihak rakyat Sipitang tidak mahu fasa pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (WP01) ini ditunda lagi. Jika perlu tukar kontraktor yang dilantik atau projek pembinaan lebuh raya diambil alih kontraktor lain (penyelamat) supaya siap mengikut jadual.
“Saya tiada masalah dengan pihak kontraktor tetapi saya prihatin dengan penduduk Sipitang, pengguna harian laluan ini,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad bersama Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah dan Pegawai Daerah Sipitang, Ak Raimy Pengiran Abdul Rahman diberikan taklimat Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo WP01 sejauh 28.3 kilometer antara Sindumin hingga Kampung Melalia.
Taklinat itu disampaikan oleh Wakil Pegawai Penguasa (WP01) JKR Sabah, Suhaibun Matusin di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Sipitang.
Dr Yusof berkata, beliau bersama Matbali mengambil berat pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di laluan berkenaan kerana ia penting kepada penduduk daerah Sipitang, selain mengambil kira kedudukannya yang menyambungkan Lebuhraya Pan Borneo dari Sarawak yang sudah siap.
Beliau berkata, kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo WP01 itu menerima keluhan daripada pengguna kerana dilaksanakan secara tidak profesional dan lewat disiapkan.
Katanya, faktor keselamatan pengguna juga tidak diberikan keutamaan ketika pembinaan antaranya tidak diletakkan papan tanda arah khususnya di laluan yang ada lencongan hingga menyebabkan berlaku kemalangan dan tersalah masuk laluan, khususnya pemandu dari Brunei, Sarawak dan daerah lain.
“Laluan lencongan juga tidak diselenggara dengan baik dengan keadaan jalan raya berlubang, air hujan bertakung disebabkan tiada parit, jalan tidak rata yang membahayakan pengguna.
“Ketika ini boleh dilihat bilangan jentera dan pekerja di sepanjang pembinaan Lebuhraya Pan Borneo ini tidak mencukupi dan bagi pemindahan tiang elektrik, paip air dan fiber optik (telekomunikasi) masih ada kawasan belum dilaksanakan,” katanya.
Dr Yusof berkata, jalan simpang masuk ke kawasan kampung dan rumah penduduk di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo WP01 juga tidak diselenggara dengan baik. – Info X