Search

Anwar pasti lunaskan semua tuntutan MA63 – PKR Sabah

September 15, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pasti melunaskan semua tuntutan Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan sebaik mungkin.

Keyakinan itu dinyatakan PKR Sabah berdasarkan kesungguhan yang ditunjukkan Anwar selama kira-kira dua tahun menjadi Perdana Menteri Ke-10 (PMX).

Pengerusi Majlis Perwakilan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, berkata perkara itu sejajar dengan Fasal 5, Perkara 5.8, Perlembagaan PKR yang menyatakan dengan jelas komitmen parti itu terhadap MA63.

Jelasnya, selaku Presiden PKR, Anwar pasti menjadikan komitmen perjuangan berlandaskan MA63 yang terkandung dalam perlembagaan parti sebagai panduan dalam setiap keputusan yang dilaksanakannya selaku ketua kerajaan.

“Perlembagaan PKR menyebut bahawa parti ‘menjunjung setia semangat kerjasama dan perkongsian kuasa secara adil antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung dengan memperkasakan kedudukan politik dan ekonomi yang saksama mengikut kerangka MA63’.

“Ia menjadikan PKR sebagai satu-satunya parti nasional yang mengangkat dengan jelas kepentingan MA63 dalam kerangka negara bangsa.

“Justeru, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai Perdana Menteri Malaysia yang juga Presiden PKR, pasti akan memastikan tuntutan MA63 ini dilunaskan sebaik mungkin,” katanya dalam perutusan sempena Hari Malaysia yang disambut esok.

Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, Anwar sudah membuktikan kesungguhan Kerajaan Perpaduan pimpinannya melaksanakan MA63 apabila tujuh daripada 11 perkara dalam tuntutan Sabah dan Sarawak di bawah perjanjian itu diselesaikan dalam tempoh dua tahun beliau sebagai Perdana Menteri.

“Pencapaian ini termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan garis panduan penyerahan tanah di Sabah dan Sarawak.

“Di bawah Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tiga tuntutan utama juga diselesaikan, seperti penyerahan pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Sabah.

“Penyerahan kuasa kawal selia gas petroleum cecair (LPG) kepada Sarawak pula dilakukan di bawah Perdana Menteri Kelapan, Datuk Seri Muhyiddin Yassin.

“Seterusnya baki tuntutan yang masih tertangguh akan diteruskan dan diselesaikan dengan penuh dedikasi oleh Kerajaan Perpaduan-MADANI, di bawah pimpinan Perdana Menteri Ke-10 melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63),” katanya.

Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, berkata beliau juga yakin Perdana Menteri sekarang sentiasa memastikan setiap langkah diambil dengan persetujuan rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Ini adalah contoh terbaik bagaimana kepemimpinan yang inklusif dan penuh ihsan boleh membawa kemajuan positif kepada kesemua rakan kongsi yang membentuk negara Malaysia.

“Marilah kita seluruh rakyat Malaysia berpadu untuk merealisasikan gagasan Malaysia Madani dengan semangat perpaduan dan keharmonian. Semoga Malaysia terus maju dan tumbuh sebagai negara yang disegani dan dirahmati,” katanya. – Info X