Search

Pemberian khas bantu atasi isu pendidikan, infrastruktur di Sabah

September 15, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemberian khas RM600 juta kepada Sabah mulai tahun depan diharap dapat membantu mengatasi isu pendidikan dan infrastruktur asas yang dialami di negeri ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, berkata dana daripada kerajaan Persekutuan itu penting untuk kerajaan negeri merancang program pembangunannya.

Katanya, isu penting berkaitan fasiliti pendidikan dan kemudahan asas, terutama bekalan air dan jalan raya perlu diutamakan dalam perancangan kerajaan negeri berkaitan penggunaan dana daripada pemberian khas itu.

“RM600 juta ini penting sebab kita mahu supaya pembangunan Sabah dapat dirancang, terutama berkaitan bidang pendidikan, sama ada rendah, menengah atau pendidikan tinggi.

“Jadi ini adalah kuncinya dankita berharap peruntukan itu dapat digunakan sepenuhnya untuk menyelesaikan isu asas infrastruktur di Sabah terutama air dan jalan raya,” katanya ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Beliau mengulas peningkatan RM300 juta kepada RM600 juta pemberian khas untuk Sabah dan Sarawak yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), kelmarin.

Mustapha berkata, peningkatan jumlah pemberian khas secara interim itu adalah sumbangan kerajaan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak bagi merealisasikan perkara yang termaktub dalam MA63.

“Kita juga mahu supaya rundingan secara baik diteruskan antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat berkaitan isu MA63 dan berharap akan ada perbincangan yang baik lagi selepas ini.

“Kita kurangkanlah polemik di media, lebih baik kita berunding sebab saya fikir Perdana Menteri sekarang amat memahami isu yang dihadapi Sabah dan beliau sedia mendengar serta menimbangkan apabila ekonomi negara semakin mantap.

“Sekarangpun sudah baik sebenarnya, tapi kita mahu memantapkan lagi supaya kita dapat menylesaikan masalah berbangkit di negeri ini dan seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, mengenai politeknik, Mustapha menyifatkan institusi berkenaan penting untuk mengeluarkan seramai mungkin graduan berkemahiran bagi memenuhi keperluan tenaga kerja, khususnya di Sabah.

“Saya fikir ini akan menambah bilangan tenaga mahir kita terutama di Sabah ini memang kita amat memerlukan tenaga mahir yang berkualiti.

“Terima kasih kepada Politeknik Kota Kinabalu kerana membantu kita mengeluarkan tenaga mahir untuk negeri dan juga negara,” katanya.

Seramai 407 graduan Politeknik Kota Kinabalu menerima diploma dan sijil sempena Majlis Konvokesyen Ke-28 politeknik berkenaan. – Info X