Search

Idola Darau dapat sambutan, tawar hadiah lebih baik tahun depan

September 15, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Program mencungkil bakat terpendam menerusi pertandingan Idola Darau yang julung kali dianjurkan pada tahun ini akan dikembangkan lagi pada tahun depan.

Ia berikutan sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau untuk menyertai pertandingan berkenaan.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Darau, Datuk Razali Razi, berkata DUN Darau mempunyai ramai bakat terpendam yang selama ini tiada tempat untuk ditonjolkan.

Berikutan itu, katanya, Idola Darau yang diadakan sempena program Jerayawara Sabah Maju Jaya (SMJ) DUN Darau diperkenalkan sebagai pentas untuk meluahkan bakat mereka.

“Ini satu program yang baik untuk kita mencungkil bakat kerana kita tahu dan kita dengar memang ramai ada bakat di kawasan Darau ini.

“Jadi, hari ini kita sediakan pentas untuk mereka menunjukkan bakat masing-masing. Alhamdulillah, sambutan program pertama ini cukup menggalakkan.

“InsyaAllah saya difahamkam tahun depan Idola Darau ini akan dilebarkan dan diluaskan lagi dengan hadiah yang lebih baik,” katanya ditemui selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan itu di 1Borneo Hypermall, semalam.

Pertandingan berkenaan adalah inisiatif Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM Darau) dengan kerjasama Majlis Belia Sabah (MBS).

Hadir sama ialah Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan.

Razali yang juga Pengerusi SMART Sabah, berkata tujuan utama Idola Darau ialah untuk mengetengahkan bakat masyarakat Darau yang sebelum ini tiada tempat untuk ditonjolkan.

Katanya, beliau sendiri kagum setelah melihat bakat terpendam yang dipersembahkan peserta pertandingan itu.

“Saya sangat terkejut, malah ada yang sampai saya meremang melihat persembahan mereka. Contohnya yang johan, saya ingat dia penyanyi profesional.

“Dengan bakat yang ditonjolkan itu, saya percaya mereka boleh pergi lebih jauh,” katanya.

Razali turut menyatakan sokongan SMART Sabah dalam mengembangkan lagi program Idola Darau, bukan setakat pertandingan nyanyian, malah bakat lain juga.

Seramai 17 peserta bertanding pada peringkat akhir Idola Darau, masing-masing mempersembahkan bakat nyanyian, tarian, bersyair dan bermain muzik serta kugiran.

Johan pertandingan itu dimenangi Veronica Juanis dengan membawa pulang piala dan wang tunai RM1,500, diikuti tempat kedua oleh Sahidan Mohd Ramli yang membawa piala dan wang tunai RM800.

Tempat ketiga yang membawa pulang piala dan wang tunai RM500 pula dimenangi Amar Fiqhiqbal.

Selain itu, dua peserta lagi turut menerima hadiah sagu hati RM200, selain sijil kepada semua peserta yang terpilih ke pertandingan akhir. – Info X