Search

Jangan biarkan perbezaan politik, ideologi rosakkan perpaduan – Bung Moktar

September 14, 2024

Info X Reporters

KINABATANGAN: Rakyat di negeri ini dinasihatkan agar tidak merosakkan perpaduan hanya kerana berbeza pandangan, ideologi dan fahaman politik.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pemimpin politik seharusnya menjadi teladan memupuk nilai perpaduan, muhibah dan semangat kebersamaan.

Sehubungan itu, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah, berkata semua masyarakat termasuk pemimpin politik perlu mengelak daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama bangsa dan kaum sehingga menimbulkan kebencian.

“Apa yang mengecewakan akhir-akhir ini timbul kembali suara-suara sumbang dari beberapa invididu pemimpin politik di negeri ini sama ada secara terbuka atau dimuat naik di media sosial meniupkan api kebencian dengan membawa pelbagai sentimen.

“Antaranya ‘anti parti Malaya’ dan menghalang parti yang berpangkalan di Semenanjung untuk bertanding dalam PRU atau PRN di Sabah yang boleh mencetuskan semangat kebencian dan menjejaskan tahap perpaduan rakyat negeri ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan program Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia TABIKA dan TASKA Kemas bagi kawasan Parlimen Kinabatangan di Dewan Masyarakat Seri Lamag, di sini, semalam.

Bung Moktar berkata, sebagai seorang pemimpin yang ingin bersama-sama membina negara bangsa, sepatutnya menjadi ejen perpaduan negara dalam menyebarkan mesej kebersamaan.

“Kita sebuah negara demokrasi, maka tidak timbul isu tempatan atau parti Semenanjung. Maka seharusnya tidak ada kenyataan dikeluarkan yang menyinggung perasaan walaupun parti itu berhajat semula untuk mentadbir negeri ini,” katanya.

Bung Moktar bersama jemputan lain memotong kek Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Malah, katanya bukan sahaja UMNO, parti lain berpangkalan di Semenanjung yang telah bertapak di Sabah menjadi sebahagian kerajaan hari ini dan dipimpin anak Sabah sendiri menangis kerana dakwaan parti Semenanjung bertanding di negeri ini merampas hak rakyat Sabah.

“Negara ini dibina atas dasar kebersamaan melalui kontrak sosial yang telah membawa kemerdekaan.

“Dalam menyatupadukan rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, etnik dan budaya, pemimpin terdahulu mendukung wadah integrasi nasional berbanding asimilasi,” katanya.

Mengenai program yang dirasmikannya, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan memuji usaha yang dilakukan KEMAS menganjurkan program itu sebagai satu usaha murni untuk membentuk semangat patriotik dalam kalangan kanak-kanak.

Selain itu, katanya ia juga dapat mempupuk semangat harmoni dan perpaduan sebagai amalan murni untuk mereka sebagai pemimpin akan datang meneruskan kemajuan, keamanan dan kemakmuran negara. – Info X

Pix –

Pix – Bung Moktar bersama kakitangan KEMAS Kinabatangan.

Pix – Bung Moktar bersalaman dengan murid Tabika KEMAS Kinabatangan.