Search

APM Paitan bantu calon STPM terjejas banjir kembali ke sekolah

February 22, 2026

Info X Reporters

PAITAN: Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) Paitan membantu membawa keluar sembilan calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dari kawasan terjejas banjir, di sini, untuk kembali ke sekolah mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salaping, Kota Marudu, pada Ahad.

Kesemua pelajar terbabit bakal menduduki peperiksaan STPM pada Isnin dan perlu kembali ke sekolah pada Ahad bagi memastikan mereka tidak terlepas menduduki peperiksaan berkenaan.

Bagaimanapun, pelajar terbabit berdepan kesukaran untuk keluar dari kawasan kediaman masing-masing berikutan paras banjir yang meningkat dan menjejaskan laluan utama.

Berikutan itu, anggota APM Paitan yang diketuai Pegawai Pertahanan Awam Daerah Paitan, Lt (PA) Bakrin Samsudin bertindak pantas membantu mengeluarkan pelajar terbabit dari kawasan banjir menggunakan kaedah pemindahan yang selamat dan terkawal.

Ia bagi memastikan mereka dapat hadir ke sekolah tanpa sebarang risiko keselamatan dengan menggunakan kenderaan jabatan.

Tindakan itu juga sebagai maklum balas segera terhadap permintaan guru Tingkatan Enam SMK Salaping, Kota Marudu yang meminta kerjasama APM bagi membantu pelajar sekolah berkenaan yang terjejas akibat banjir untuk kembali ke sekolah bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan.

Menerusi kenyataan dikeluarkan APM Paitan, operasi itu berjalan lancar hasil kerjasama anggota bertugas yang mengutamakan keselamatan dan kebajikan pelajar sepanjang proses pemindahan dijalankan.

Katanya, bantuan itu memberi impak besar kepada pelajar kerana ia memastikan mereka tidak tercicir daripada sesi pembelajaran serta persediaan peperiksaan penting.

“Selain menjamin keselamatan, tindakan itu turut memberi ketenangan kepada pelajar dan ibu bapa dalam menghadapi situasi bencana.

“Usaha berkenaan membuktikan bahawa sokongan agensi penyelamat memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan pendidikan walaupun berdepan cabaran bencana alam.

“Pengorbanan dan komitmen anggota APM yang sentiasa bersedia membantu masyarakat tanpa mengira masa dan keadaan wajar diberikan penghargaan tinggi.

“Kecekalan serta semangat perkhidmatan mereka menjadi inspirasi kepada masyarakat, khususnya generasi muda.

“Diharapkan anggota APM terus kekal bersemangat dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagai barisan hadapan bantuan kemanusiaan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

APM menyifatkan tindakan pantas itu menunjukkan kepentingan kesiapsiagaan pasukan penyelamat dalam menghadapi bencana serta memastikan kebajikan masyarakat sentiasa terpelihara. – Info X