KUNDASANG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menjalankan pemantauan susulan kejadian tanah runtuh yang menjejaskan sebuah rumah penduduk di Kampung Pogun dan Kampung Dumpiring Atas, di sini, hari ini.
Kejadian akibat hujan lebat berterusan semalam itu menyebabkan cerun setinggi kira-kira 25 meter runtuh sehingga menjejaskan bahagian dinding belakang rumah berkenaan.
Bagaimanapun, sebuah lagi rumah berhampiran dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kerosakan, manakala tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurut APM, pemantauan dijalankan oleh seorang pegawai bersama dua anggota dari Pusat Unit Pertahanan Awam (PUPA) Kundasang bagi menilai keadaan di lokasi kejadian.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati runtuhan cerun berkenaan berisiko mengalami hakisan berterusan sekiranya hujan lebat kembali melanda kawasan itu.
“Sebagai langkah keselamatan awal, anggota APM bersama penduduk kampung memasang kanvas pada permukaan cerun yang runtuh.
“Langkah itu bertujuan menghalang air daripada bertakung selain mengurangkan risiko hakisan tanah berterusan,” menurut kenyataan itu, hari ini.
APM turut menasihatkan penduduk terutama yang tinggal berhampiran cerun dan kawasan berisiko tinggi supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang tanda pergerakan tanah.
Penduduk juga diminta mematuhi arahan keselamatan dan segera berpindah ke kawasan lebih selamat sekiranya mengesan tanda awal tanah runtuh.
Terdahulu, hujan lebat berterusan sejak petang semalam menyebabkan beberapa kejadian tanah runtuh dan banjir kilat di sekitar Kundasang, termasuk sebuah Perodua Kancil dipercayai dihanyutkan arus sehingga terbalik di tebing jalan Kampung Sinisian.
Kejadian tanah runtuh turut dilaporkan berlaku di belakang Surau Al-Taqwah, Kampung Dumpiring Bawah, manakala limpahan air bercampur batuan menjejaskan laluan utama Kampung Pahu ke Kampung Himbaan di Bundu Tuhan. – Info X