Search

Kes pukul lelaki di Inanam tular, tujuh suspek diberkas polis

October 12, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis berjaya menahan tujuh lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang lelaki dipukul sekumpulan individu di hadapan sebuah premis di KK Taipan, Inanam, pada Jumaat lalu.

Kejadian berkenaan turut tular di media sosial menerusi rakaman video berdurasi 23 saat yang memaparkan mangsa dipukul dan ditendang oleh sekumpulan lelaki, termasuk menggunakan topi keledar.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, seorang suspek ditahan semalam, manakala enam lagi berjaya diberkas dalam operasi susulan yang dijalankan hari ini.

Katanya, kejayaan tangkapan itu adalah hasil kerjasama erat antara Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain.

“Semua tujuh suspek berusia 18 hingga 30-an kini ditahan bagi membantu siasatan, manakala motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau lagi, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 23 tahun mengalami keretakan tulang hidung, lebam serta calar pada beberapa bahagian badan dan telah menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I). Keadaan mangsa dilaporkan stabil.

Terdahulu, polis menerima laporan daripada ibu mangsa pada 11 Oktober 2026, kira-kira jam 5.48 petang, sebelum tindakan siasatan dan operasi mengesan suspek dilaksanakan.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya turut menegaskan komitmen untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam perlakuan jenayah serta mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan di luar batas undang-undang. – Info X