KENINGAU: Seorang pesara dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM73,600 selepas didapati bersalah mengemukakan tuntutan palsu berkaitan pembekalan makanan untuk petugas media bernilai RM14,720, enam tahun lalu.
Tertuduh, Jaffar Matamin, 62, yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Penerangan Daerah Keningau turut berdepan penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda.
Hakim Mahkamah Sesyen Keningau, Dr Nur Ashikin Mokhtar memerintahkan hukuman dilaksanakan bermula pada tarikh sabitan, iaitu pada 9 Oktober 2026.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Jaffar didakwa mengemukakan suatu dokumen tuntutan iaitu Tuntutan Membekal Jamuan Makanan dan Minuman Kepada Petugas Media di Pusat Media Kompleks Sukan Keningau pada 18 Februari 2020.
Ia sempena Sukan Sabah Games (SAGA) IX Keningau 2019 yang berlangsung dari 5 hingga 13 Disember 2019.
Tertuduh didakwa mengemukakan dokumen itu kepada prinsipalnya, Kementerian Belia dan Sukan Sabah atas nama Didi Enterprise yang mengandungi butir matan palsu iaitu pembekalan makan pagi, tengahari dan petang berjumlah RM14,720 yang sebenarnya tidak dibekalkan sepenuhnya.
Berikutan itu, tertuduh berdepan satu pertuduhan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar, manakala tertuduh diwakili peguam dari MS Shah & Associates. – Info X