KENINGAU: Kegiatan menjual senapang angin dan peluru tanpa lesen di sekitar daerah ini terbongkar selepas polis menyerbu sebuah pondok di Kampung Sook, di sini, semalam.
Dalam serbuan menerusi Op Laras itu, seorang pekebun kelapa sawit berusia 50 tahun ditahan bersama rampasan 42 laras senapang angin pelbagai jenis, 456 kotak kecil peluru dan lima beg senjata bercorak celoreng.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, operasi dijalankan sepasukan anggota Bahagian D9, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Keningau.
Katanya, serbuan dilakukan susulan maklumat orang awam mengenai kegiatan mencurigakan di lokasi berkenaan.
“Pemeriksaan di sebuah stor penyimpanan membawa kepada penemuan 42 laras senapang angin pelbagai jenis bersama ratusan kotak peluru dan lima beg senjata.
“Suspek ditahan selepas gagal mengemukakan lesen atau permit sah bagi pemilikan senapang angin berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Erwansyah berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit yang bekerja sebagai pekebun kelapa sawit dipercayai turut menjalankan kegiatan menjual senapang angin dan peluru di sekitar Keningau.
Katanya, berdasarkan maklumat awal, senapang angin berkenaan dipercayai dijual pada harga antara RM350 hingga RM500 selaras.
“Peluru pula dijual pada harga antara RM30 hingga RM50 bagi setiap pek yang mengandungi 10 kotak kecil.
“Polis kini menyiasat sumber bekalan senjata berkenaan termasuk kemungkinan wujud penglibatan rangkaian pembekalan dari luar negara,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tanpa lesen.
Katanya, polis turut meneliti pemakaian Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 berkaitan kesalahan berdagang senjata api, tertakluk kepada pengesahan pakar terhadap barang rampasan dan penelitian pihak pendakwaan.
“Polis memandang serius sebarang kegiatan pemilikan dan penjualan senjata tanpa lesen kerana boleh mengancam keselamatan awam.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan seumpama ini diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X