KENINGAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut selepas terkena tembakan senjata api buatan sendiri ketika berada di sebuah pondok kebun getah di Kampung Mampulut, Sook, di sini, pada Sabtu lalu.
Mangsa mengalami kecederaan serius di kepala sebelum disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.35 petang, 10 Oktober lalu.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa bersama seorang lagi kanak-kanak berada di pondok kebun getah berkenaan sebelum satu das tembakan berlaku.
“Kejadian dipercayai membabitkan senjata api buatan sendiri yang dikenali sebagai ginsok.
“Mangsa mengalami kecederaan serius di kepala sebelum dibawa ke hospital, namun meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Erwansyah berkata, pemeriksaan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu, semalam mengesahkan punca kematian mangsa akibat kecederaan tembakan di kepala.
Katanya, polis kini menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti bagaimana senjata api berkenaan diperoleh, disimpan dan dikendalikan sehingga menyebabkan kejadian itu.
“Pemeriksaan forensik dan balistik turut diberi perhatian bagi menentukan mekanisme tembakan serta kaitan senjata yang disyaki dengan kecederaan mangsa.
“Polis juga meneliti aspek pemilikan senjata api tanpa lesen serta kemungkinan berlaku pengabaian yang mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan pengabaian atau pendedahan kanak-kanak kepada kecederaan.
Selain itu, katanya siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 berkaitan pemilikan, jagaan atau kawalan senjata api tanpa lesen atau permit yang sah.
Beliau berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit berdasarkan hasil siasatan dan bukti diperoleh.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memiliki senjata api tanpa kebenaran sah, manakala pemilik senjata api berlesen perlu memastikan senjata disimpan di tempat selamat dan berkunci.
“Orang ramai juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis,” katanya. – Info X