Search

APMM dekati komuniti nelayan di Semporna

October 2, 2023

Info X Reporters

SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna bersama agensi-agensi sahabat serta rakan strategik bekerjasama mendekati komuniti nelayan Kampung Pokas, di sini sempena Program Sahabat Maritim Siri 1/2023 yang diadakan selama dua hari yang berakhir semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan APMM, Mohd Norzam Mustapa berkata, penganjuran program ini bertujuan untuk merapatkan ukhwah antara pasukan penguat kuasa dengan komuniti nelayan.

“Langkah ini supaya hubungan baik dapat dibentuk selain mempromosikan keselamatan maritim kepada masyarakat di pulau sekitar daerah ini.

“Ia juga sekali gus membentuk kefahaman undang-undang supaya perairan negara khususnya di daerah ini lebih selamat dan sejahtera,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Katanya, Zon Maritim Semporna mempunyai keluasan pengoperasian laut kira-kira 1,200 batu nautika persegi dan meliputi 52 buah pulau serta panjang pantai perairan 132 kilometer.

“Oleh itu, kerjasama komuniti maritim untuk melaporkan dan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan yang melanggar undang-undang serta kes-kes kecemasan di laut amat penting bagi menjamin keselamatan, kesejahteraan, keharmonian dan kedaulatan perairan negara.

“Sebanyak 40 unit jaket keselamatan dan empat unit alat pemadam api disumbangkan kepada komuniti nelayan bagi membantu meningkatkan keselamatan ketika di laut,” katanya.

Mohd Norzam (dua kanan) menyampaikan jaket keselamatan kepada salah seorang nelayan.

Sementara itu, Pengarah Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik turut menyampaikan sumbangan lebih kurang 100 kilogram beras kepada komuniti kurang upaya sekitar kawasan berkenaan.

Selain penyampaian jaket keselamatan dan alat pemadam api, program kali ini turut diserikan dengan beberapa aktiviti seperti gotong-royong, pembaikan fasiliti sedia ada serta pertandingan sukan rakyat.

Turut terlibat, Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan Semporna, Jabatan Pelabuhan Perikanan, Dermaga Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.

Turut menjayakan program dua hari ini lebih 500 komuniti maritim serta warga Maritim Semporna. – Info X