Search

Wanita disyaki curi rantai emas serah diri kepada polis

October 2, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Seorang wanita ditahan selepas disyaki terbabit kes curi rantai emas di Kampung Langsat, Merotai, di sini, semalam.

Suspek berusia 40 tahun itu ditahan selepas datang menyerah diri di Balai Polis Bombalai, jam 3.39 petang.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kes curi rantai emas daripada seorang pengadu.

Katanya, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau (BSJD) dan Balai Polis Bombalai digerakkan bagi menjalankan siasatan.

“Bagaimanapun, suspek wanita terbabit ditahan selepas datang menyerah diri di Balai Polis Bombalai, pada jam 3.39 petang.

“Hasil siasatan awal, suspek terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek kemudian, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Dengan tertangkapnya suspek terbabit, kes berkenaan berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam,” katanya. – Info X