Search

Kepulangan 4 juara dunia gusti lengan dari Sabah disambut meriah

October 2, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Empat anak jati Sabah yang muncul juara di Kejohanan Gusti Lengan Dunia 2023 menerima sambutan kepulangan di Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA), di sini, semalam.

Kepulangan mereka bersama-sama rakan atlet lain yang turut bertanding dalam kejohanan itu disambut meriah dengan kehadiran Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin serta ahli keluarga mereka masing-masing.

Turut hadir, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan bersama-sama dengan Persatuan Gusti Lengan Sabah, sahabat handai serta peminat-peminat sukan gusti lengan tempatan.

Antara atlet Sabah yang berjaya merangkul gelaran juara dunia ialah Joffey Jolly (Senior Lelaki Tangan Kanan 70 Kg), Wayner Weew Oliver ( Bawah 18 Tahun Tangan Kanan 63 Kg), Junior Daniel Marcus ( Bawah 15 Tangan Kanan 70kg) dan Nathanael Evander Sooyon ( Bawah 15 Tahun Tangan Kiri 70 Kg).

Ellron menyerahkan cenderhati kepada Joffey Jolly yang merupakan salah seorang juara dunia.

Ellron ketika ditemui berkata, beliau amat berbangga dengan kejayaan yang dicapai oleh anak-anak Sabah dalam kejohanan berprestij itu.

Beliau juga berharap sukan gusti lengan dapat disebar luaskan lagi bukan sahaja di Sabah malah di seluruh negara dan dipertandingkan pada Sukan Malaysia (Sukma) serta Sukan SEA.

Kejohanan itu menyaksikan pasukan Malaysia berada di kedudukan kelima dengan pungutan 10 pingat emas lapan perak dan 12 gangsa dibelakang Amerika Syarikat, India, Poland dan Sweden.

Daripada 10 emas yang dirangkul oleh pasukan kebangsaan, atlet Sabah telah membolot empat emas selebihnya satu perak dan tiga gangsa.

Difahamkan kejohanan itu berlangsung selama 7 hari ( 25 September hingga 1 Oktober) di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur menampilkan penyertaan sebanyak 31 buah negara dan 500 orang atlit seluruh dunia.

Seramai 14 atlet Gusti Lengan Sabah berada dalam skuad kebangsaan semasa kejohanan itu. – Info X