KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 6,000 liter petrol dipercayai cuba diseludup keluar ke Filipina di perairan daerah ini, awal pagi tadi.
Kegiatan penyeludupan itu dikesan hasil maklumat daripada Unit Risikan Zon Maritim Kudat, kira-kira jam 4 pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, bertindak atas maklumat itu, aset ronda Zon Maritim Kudat, bot Adal 04 yang pada ketika itu sedang menjalankan rondaan Op Sejahtera/Op Tiris/Op Pluto Timur dan Op Cegah Pati segera diatur gerak ke lokasi.
“Pada jarak hampir 2.8 batu nautika barat laut Pulau Mandi Darah, bot suspek berjaya dikesan iaitu sebuah pam bot sedang bergerak perlahan serta mencurigakan dalam keadaan gelap.
“Ketika bot suspek cuba dihampiri, dua individu bertindak nekad terjun ke kawasan laut cetek dan melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Bagaimanapun katanya, bot suspek berjaya ditahan dan diperiksa.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bot berkenaan membawa muatan 30 tong warna biru berisi 6,000 liter petrol serta enam tong gas warna kuning.
“Semua barang itu dipercayai dibawa tanpa permit yang sah dan disyaki untuk tujuan pasaran gelap ataupun diseludup ke negara jiran berhampiran,” katanya.
Menurutnya, bot serta barang rampasan seterusnya dibawa ke Jeti Marina, Kudat untuk siasatan selanjutnya.
“Keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai hampir RM60,000.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa muatan Barang Kawalan tanpa permit sah,” katanya.
Sementara itu, Hasbullah berkata pihaknya memohon orang awam khususnya komuniti maritim di daerah ini untuk melaporkan jika terdapat sebarang maklumat berkaitan kes ini melalui Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam. – Info X