Search

Sederet empat lot kedai musnah terbakar

February 15, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Sederet empat lot kedai musnah selepas satu blok bangunan separuh kekal terbakar di Kampung Sungai Burung, di sini petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.34 petang.

Katanya, sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama lima buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 45 kilometer bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

“Operasi turut mendapat bantuan seramai lima anggota dan pegawai dari BBP Kunak dan lapan anggota bomba komuniti Kampung Titingan.

“Kebakaran itu membabitkan satu blok kedai empat lot jenis yang menempatkan bengkel kimpalan, dua kedai runcit dan sebuah warung makan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman menggunakan dua aliran air dari jentera bomba dan setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.06 petang,” katanya. – Info X