Search

APMM gagalkan cubaan seludup petrol ke negara jiran

February 11, 2024

Info X Reporters

KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) gagalkan cubaan menyeludup minyak petrol ke negara jiran di kedudukan 1.4 batu nautika tenggara Tanjung Layag-Layag, Pitas, semalam.

Pengarah APMM Zon Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bertindak berdasarkan maklumat awam, aset ronda Zon Kudat yang pada ketika itu sedang melaksanakan rondaan Op Pluto/Op Tiris segera diatur gerak ke lokasi berkenaan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, anggota APMM mengesan sebuah bot sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika cuba merapat, tiba-tiba bot berkenaan memecut laju menuju kawasan cetek berhampiran.

“Pengendali bot terbabit dipercayai terjun daripada bot dan melarikan di kawasan hutan paya bakau berdekatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati, terdapat 17 tong biru berisi petrol di atas bot pam berkenaan yang dianggarkan 3,400 liter disyaki cuba diseludup ke negara jiran, Filipina.

“Bot serta barang rampasan dianggarkan bernilai lebih RM20,000 itu dibawa ke jeti Marina, Kudat dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya menahan sebuah kapal kargo jenis Landing Craft di kedudukan 0.2 batu nautika barat daya Lok Bon, Pitas pada hari yang sama.

Empat kru kapal kargo turut ditahan dalam operasi berkenaan. – Foto/APMM

“Tangkapan berkenaan dibuat hasil pengesanan daripada SWASLA Sabah berpandukan aduan daripada Jabatan Laut Lahad Datu menyatakan kapal berkenaan telah meninggalkan lokasi tempat bersauh tanpa kebenaran.

“Ketika diperiksa mendapati, empat individu warga tempatan yang mengendalikan kapal berkenaan berusia lingkungan 20 hingga 52 tahun,” katanya.

Beliau berkata, kapal terbabit turut ditahan atas kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952, Seksyen 65, Ops 1952 (Port Clearance) kerana keluar belayar dari Lahad Datu tanpa memohon izin untuk belayar.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 300 (1) Sending Unseaworth Ship to Sea An Offence, Ops 1952 dan Seksyen 22 (2A), Certificate Of Registry kerana disyaki tidak memaklumkan penukaran nakhoda kepada pendaftar kapal,” katanya. – Info X