Search

Pukul, ugut bunuh isteri kerana cemburu

February 11, 2024

Info X Reporters

BEAUFORT: Berang kerana mengesyaki isteri ada hubungan dengan lelaki lain, seorang lelaki mengamuk dan menumbuk muka wanita itu di Kampung Siaun, Menumbok, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa berusia 34 tahun cedera di pipi kanan dan luka di bawah kening.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Ismail Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di dalam kereta di hadapan rumah mereka.

“Suspek dikatakan tiba-tiba mengamuk dan memukul muka mangsa (isteri).

“Suspek juga bertindak mengugut untuk membunuh mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, bertindak aduan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah dan anggota Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Menumbok menahan suspek terbabit.

“Punca kejadian itu disebabkan suspek cemburu dan menuduh isterinya ada hubungan dengan lelaki lain.

“Suspek berusia 35 tahun kini ditahan reman selama empat hari bermula esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga,” katanya. – Info X