KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan merekodkan 273 kes tangkapan dengan nilai rampasan dianggarkan RM48.5 juta sepanjang 2025 hasil penguatkuasaan berterusan dan operasi bersepadu di perairan negeri ini.
Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Khairulanuar Abd Majid@ Razali berkata, rampasan itu membabitkan pelbagai kes berprofil tinggi termasuk penyeludupan dadah, minuman keras dan rokok, penahanan bot nelayan Vietnam, selain barangan kawalan seperti minyak masak, beras dan petrol.
“Sepanjang tempoh sama, APMM Sabah dan Labuan turut melaksanakan 59,119 pemeriksaan serta 28,320 penggeledahan, sekali gus mencerminkan tahap kesiapsiagaan tinggi agensi itu dalam membanteras jenayah maritim dan pelanggaran undang-undang di perairan negara.
“Keberkesanan operasi diperkukuh menerusi pelaksanaan pelbagai operasi dan latihan bersama antara agensi termasuk Op Naga Sabah, Op MARDOF, selain eksesais Search and Rescue Exercise (SAREX) dan Maritime Mass Rescue Operation (MMRO) bagi meningkatkan koordinasi serta keupayaan tindak balas terhadap ancaman keselamatan maritim,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya, pendekatan bersepadu itu bertujuan mempertingkat koordinasi antara agensi, memperkukuh keupayaan tindak balas serta memastikan tahap kesiapsiagaan berterusan dalam menghadapi sebarang ancaman keselamatan maritim di perairan Sabah dan Labuan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) sepanjang tahun lalu merekodkan 23 kes dengan 244 mangsa berjaya diselamatkan.
Menurutnya, operasi berkenaan turut melibatkan anggaran nilai harta diselamatkan berjumlah RM23.1 juta, sekali gus membuktikan kecekapan pasukan walaupun berdepan cabaran cuaca dan keadaan laut.
“Beberapa pencapaian penting turut direkodkan sepanjang tahun lalu, termasuk penempatan kapal pemberian United States Coast Guard (USCG) iaitu Ex-USCG Cutter Steadfast di perairan Sabah.
“Selain itu, APMM Sabah dan Labuan turut menerima kemudahan separa siap Kompleks Zon Maritim Semporna, selain melaksanakan pengambilan pertama Pasukan Kadet Maritim (PASKAM) Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan Program Jelajah MADANI yang disempurnakan oleh Anwar Ibrahim turut menjadi antara pencapaian signifikan sepanjang tahun lalu dalam usaha memperkukuh hubungan kerajaan dengan komuniti maritim setempat.
“Kejayaan yang direkodkan itu adalah hasil komitmen tinggi seluruh warga Maritim Sabah dan Labuan, disokong kerjasama erat agensi keselamatan lain serta sokongan padu masyarakat.
“APMM akan terus memperkukuh kesiapsiagaan operasi, meningkatkan keupayaan aset dan modal insan, selain mempererat kerjasama antara agensi bagi memastikan keselamatan perairan, kesejahteraan komuniti maritim dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X