KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali membuat laporan polis berhubung perbuatan khianat yang didakwa menjejaskan bekalan air kepada penduduk di sekitar Kinarut dan Kawang sejak akhir Disember lalu.
Ahli Parlimen Papar itu membuat laporan di Balai Polis Kinarut, malam semalam selepas mendengar laporan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) berhubung punca gangguan bekalan air di Kinarut dan Kawang.
Katanya, JANS menjelaskan punca gangguan bekalan air di kawasan itu pada mesyuarat khas bersama jabatan dan agensi khas berkaitan yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.
“Bersandarkan kepada laporan tersebut, malam semalam saya telah membuat keputusan untuk membuat laporan polis sendiri di Balai Polis Kinarut.
“Tujuan laporan dibuat adalah untuk meminta PDRM membuat siasatan terhadap tindakan yang dilihat melibatkan unsur khianat dan sabotaj ke atas infrastruktur dan utiliti awam yang telah mendatangkan kemudaratan awam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Armizan berkata, JANS melaporkan dapatan pasukan khas yang mendapati berlaku gangguan ke atas injap pintu air (sluice valve) di dua Booster Pumps JANS yang membekalkan air ke Mukim Kinarut dan Kawang.

Katanya, difahamkan ‘gangguan’ itu antaranya melibatkan alihan bekalan air ke kawasan luar dari Mukim Kinarut/Kawang sehingga ke luar sempadan Papar.
‘Gangguan’ itu katanya menyebabkan sumber bekalan air ke kawasan yang sedia ada dalam jadual catuan sehingga siap Loji Rawatan Air Kogopon 2 semakin berkurangan hingga mendatangkan kesulitan serius kepada penduduk.
“Sungguhpun JANS telah membuat komitmen untuk membuat siasatan dalaman, namun saya berpendirian bahawa ia juga perlu serentak disiasat oleh PDRM kerana tindakan ini melibatkan unsur kesalahan jenayah. Saya berharap PDRM akan membuat tindakan susulan segera,” katanya.
Sementara itu, Armizan berkata mesyuarat khas semalam mengenal pasti beberapa strategi mengatasi gangguan bekalan air yang akan dilaksanakan segera, selain memastikan penghantaran bekalan air melalui water tanker diteruskan dengan kerjasama pelbagai pihak seperti JANS, Jetama, PBT, Pejabat MP Papar dan ADUN Kawang.
Antara strategi yang dikenal pasti katanya ialah melaksanakan penyambungan silang di antara rangkaian paip dari tangki utama Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon (P1) terus kepada rangkaian paip tangki utama Kawang (P3).
“Ini untuk membolehkan bekalan air terawat disalurkan terus dari loji ke tangki utama P3 yang membekalkan sumber bagi Mukim Kinarut/Kawang tanpa perlu melalui rangkaian paip yang terlalu jauh termasuk melewati rangkaian paip tangki utama Melinsung (R22).
“Kerja penyambungan ini akan dilaksanakan bermula hari ini, Jumaat, 9 Januari 2025,” katanya.
Selain itu, katanya usaha juga diambil bagi meningkatkan kapasiti pemprosesan rawatan air LRA Kogopon 1 sedia ada sebanyak 10 peratus dari kadar kapasiti maksimum semasa 40 JLH sebagai langkah interim sehingga LRA Kogopon 2, yang sedang dalam pembinaan dengan kapasiti tambahan 40 JLH, siap pada suku keempat 2026.
Jelasnya, peningkatan kapasiti LRA Kogopon 1 memerlukan naik taraf dan penggantian tiga buah pam rawatan air di LRA Kogopon.
“Garis masa yang telah disasarkan kepada JANS untuk melaksanakan kedua-dua strategi di atas adalah dua minggu sebelum proses pengoperasian.
“YB Setiausaha Kerajaan Negeri telah memberikan komitmen untuk turun ke lapangan untuk memantau sendiri pelaksanaan kerja-kerja berkaitan,” katanya. – Info X