Search

APMM TINGKAT KAWALAN PERAIRAN MENJELANG AIDILFITRI

April 23, 2022

admin

KOTA KINABALU: Pemantauan serta operasi di perairan negeri ini akan ditingkatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata kawalan keselamatan itu termasuklah mempergiat Operasi Khas Pagar Laut dengan memastikan kesiapsiagaan aset dan anggota berada ditahap yang tertinggi.

“Kita memberi fokus terhadap penguatkuasaan dan operasi terutamanya di setiap titik panas di sekitar perairan Sabah serta langkah pencegahan yang efektif akan dilaksanakan agar keselamatan dan kesejahteraan perairan Sabah terus terpelihara.

“Op Khas Pagar laut sudah bermula sejak 19 April lalu dan akan dilaksanakan sehingga 17 Mei depan bagi mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya semasa sidang media semasa ditemui di Kapal Maritim (KM) Arau di sini semalam.

Mohd Rosli berkata sepertimana sedia maklum musim perayaan ini seringkali digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan aktiviti penyeludupan, pencerobohan, penipuan serta jenayah laut yang lain.

“Perairan Sabah adalah kawasan yang mudah dihubungkan dengan kenderaan laut untuk ke negara jiran dan faktor ini salah satu cabaran serta tanggungjawab Maritim Malaysia Sabah berhadapan dengan pelbagai ancaman jenayah rentas sempadan.

“Ini termasuklah aktiviti penyeludupan, Pendatang Tanpa Izin (PTI), kegiatan dadah serta penyelewengan barang kawalan bersubsidi,” katanya.

Beliau berkata peningkatan penguatkuasaan ini juga bagi menangkis tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa pasukan keselamatan leka dan turut sibuk meraikan Hari Raya bersama keluarga.

“Kita tidak ambil mudah sebarang perlakuan jenayah rentas sempadan terutama musim perayaan kerana penugasan Maritim Malaysia di lapangan adalah sama tidak kira musim perayaan atau hari biasa.

“Pemberian cuti kepada sesetengah anggota tidak menjejaskan penugasan berikutan perancangan cuti sudah dibuat lebih awal lebih-lebih lagi di era pandemik ini bagi memastikan ianya tidak menjejaskan sebarang operasi di lautan,” katanya.

Katanya Maritim Malaysia juga menjalankan lebih 15,400 pemeriksaan sehari termasuklah aset serta sistem radar dengan melaksanakan kira-kira 5,000 pengesanan bagi sebarang aktiviti di lautan.

“Untuk tempoh itu kita berjaya merekodkan 110 tangkapan meliputi pelbagai kes tangkapan bagi keslaahan dadah dan Akta Kastam serta PTI,” katanya.

Tambahnya selain melaksanakan tugas penguatkuasaan dalam memastikan keselamatan perairan sentiasa aman dan selamat, Maritim Malaysia juga sentiasa bersedia mengerakkan aset bagi melaksanakan tugas Mencari dan Menyelamat (SAR) di lautan.

Terdahulu di minggu kedua bulan Ramadan, sebuah bot yang membawa 20 penumpang karam di perairan Semporna dan mengorbankan seorang remaja perempuan serta enam kanak-kanak.

Rosli berkatab kejadian ini diharap menjadi pedoman serta pengajaran buat komuniti maritim agar sentiasa peka terhadap keselamatan diri dan ahli keluarga ketika di laut.

“Saya menyeru kepada semua komuniti maritim negeri Sabah dan W.P Labuan untuk terus menjadi mata dan telinga kepada Maritim Malaysia dengan melaporkan sebarang salah laku jenayah laut dan kecemasan di laut di talian Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan 088-387774 dan kecemasan ditalian 999,” katanya. – Info X