Search

HINA ADAT TRADISI KDMR, MAJLIS BELIA KDCA LAPOR POLIS

April 28, 2022

admin

KOTA KINABALU: Majlis Belia Kadazandusun Cultural Association (KDCA), hari ini, membuat laporan polis terhadap satu hantaran di Facebook yang dikatakan menghina perayaan Pesta Kaamatan dan kaum Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) di Sabah.

Laporan berkenaan dibuat pengerusinya, Steve Johnny Mositun di Balai Polis Karamunsing, di sini, petang tadi.

Dalam laporannya, Steve berkata hantaran di Facebook itu dibuat oleh pengguna tidak dikenali menggunakan nama Suara Anak Sabah.

“Pengguna Facebook berkenaan telah mengeluarkan perkataan kurang menyenangkan terutama bagi kaum-kaum KDMR.

“Hantaran itu jelas satu penghinaan terhadap adat kaum berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, Steve berkata tujuan beliau membuat laporan polis ada sebagai rujukan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan untuk tindakan lanjut.

Terdahulu dalam hantaran yang dibuat di Facebook berkenaan, ianya jelas menghina adat dan tradisi kaum KDMR terutama mengenai sambutan Kaamatan.

Bagaimanapun difahamkan, hantaran terbabit telah dipadamkan namun tangkap layar hantaran berkenaan telah menjadi viral di media sosial – Info X