KOTA KINABALU: Pelakon Shaheizy Sam mendedahkan karakter Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang lantang dan tinggi suara di Parlimen berbeza dengan diri sebenarnya di rumah.
Adik ipar Allahyarham Bung Moktar itu berkata arwah tidak pernah meninggikan suara di hadapan anak-anak dan ahli keluarga.
Katanya, Ahli Parlimen Kinabatangan itu memang terkenal dengan kelantangan suaranya di Parlimen tetapi mempunyai sisi yang berbeza di rumah.
“Apa yang kita nampak dia di Parlimen, itu bukan dia, macam mana agresif kita nampak dia dalam Parlimen, kalau di rumah dia seorang yang sangat berbeza, nak dengar dia tinggi suara, nak dengar dia marah dekat rumah tak pernah.
“Saya rasa berbelas tahun ini jarang nampak dia (marah), apa yang kita nampak dia dekat Parlimen memang macam orang lain ni, memang berbeza. Dekat rumah ya Allahhaukbar, dengan anak-anak dia, cukup bagus,” katanya.
Beliau berkata, paling diingatinya nasihat arwah yang selalu mengingatkan supaya tidak lupa menjaga emaknya.
Shahheizy yang juga adik Zizie Izzette Abdul Samad hadir memberi penghormatan terakhir dan sama-sama melakukan solat jenazah ke atas arwah di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu pada Jumaat.
Zizie yang juga isteri kedua Allahyarham turut kelihatan di Masjid Bandaraya bersama ahli keluarga yang lain.
Sementara itu, Shaheizy berkata, Bung Moktar kelihatan lemah sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) lalu dan paling ketara pada hari terakhir kempen sebelum mengundi pada 29 November.
“Sebelum inikan kempen PRN, so daripada situ memang nampak dia dah tak sihatlah, ‘last’ jumpa sehari sebelum mengundi, memang saya setiap kali pilihan raya akan datang bantu dia kempen.
“‘Last day’ berkempen itu dia nampak tak macam dulu la, tak ada tenaga nampak penat dan yang mengejutkan pasal semalamlah apabila diberitahu keadaan dia teruk,” katanya ditemui di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.
Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag disahkan meninggal dunia pada jam 1.46 pagi tadi ketika menjalani rawatan di Hospital Gleneagle Kota Kinabalu.
Difahamkan, arwah berdepan masalah kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan paru-paru.
Lebih 1,000 jemaah menyertai solat jenazah yang diadakan selepas solat Jumaat pada tengah hari.
Antara yang turut menyertai solat jenazah itu ialah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan. – Info X