TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah melaksanakan Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Siri ke-21 bagi kategori usir melalui laut membabitkan 397 warganegara Indonesia dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Sandakan ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia melalui Terminal Feri Tawau.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, proses pemindahan dilaksana dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu menggunakan kemudahan kapal Feri Francis Express, Labuan Express dan Purnama Express.

“Daripada jumlah itu, seramai 286 terdiri lelaki dewasa, 76 perempuan dewasa, 31 kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah serta empat bayi berusia 23 bulan ke bawah.
“Purata umur tahanan meliputi lingkungan tiga hari hingga 78 tahun, dengan semua kanak-kanak diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing sepanjang proses pemindahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, sehingga kini, seramai 2,251 warganegara Indonesia berjaya dihantar pulang ke negara asal sekali gus menyumbang kepada jumlah keseluruhan 10,212 orang PATI yang dipindahkan dari Sabah menerusi program pemindahan tahanan asing.
“Semua individu terbabit selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta dibekalkan Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) yang sah bagi membolehkan proses pemindahan ke negara asal.
“Pihak imigresen memaklumkan kekerapan program pemindahan bergantung kepada tempoh pengeluaran SPLP oleh KJRI di Negeri Sabah.
“Sehubungan itu, para majikan disaran memastikan pekerja asing memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah bagi mengekang peningkatan jumlah PATI di negeri ini,” katanya.

Katanya, JIM Sabah menegaskan komitmen berterusan untuk mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana majikan yang melindungi pendatang asing tanpa dokumen sah.
“Mengikut Akta Imigresen 1959/63, majikan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000, hukuman penjara serta sebatan jika didapati bersubahat atau melindungi PATI.
“JIM menegaskan penguatkuasaan secara berterusan tetap diteruskan bagi memastikan kedaulatan undang-undang serta keselamatan negara terus terpelihara,” katanya. – Info X