TAWAU: Seorang buruh ditahan polis selepas disyaki menceroboh masuk sebuah rumah sebelum mengacukan pisau dan mencabul seorang suri rumah dalam kejadian di Kampung Inderasabah, di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi ketika mangsa sedang tidur bersama dua anak perempuannya sebelum terjaga selepas merasakan pahanya diraba.
“Mangsa terkejut apabila mendapati seorang lelaki berada di sebelahnya sambil memegang sebilah pisau dan mengugut supaya tidak menjerit.
“Jeritan mangsa bagaimanapun menyebabkan dua anaknya terjaga, manakala suami mangsa yang tidur di bilik lain bergegas ke ruang tamu, menyebabkan suspek panik dan melarikan diri melalui bahagian dapur,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, bertindak atas laporan suami mangsa yang berusia 40-an, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau menahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun di sebuah rumah di Kampung Inderasabah pada jam 1.30 tengah hari, semalam.
“Polis turut merampas sebilah pisau sepanjang 27 sentimeter yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.
“Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau, namun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang sanggup menceroboh rumah dan melakukan perbuatan jijik sehingga mengancam keselamatan penduduk setempat. – Info X