Search

Asrama SK Pinapak terbakar, tindakan pantas bomba kawal api

December 12, 2025

Info X Reporters

PITAS: Sebuah asrama di Sekolah Kebangsaan (SK) Pinapak, di sini terbakar dalam kejadian pagi tadi sebelum tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal api dalam tempoh kurang 15 minit selepas tiba di lokasi.

Kebakaran yang dilaporkan pada jam 8.10 pagi itu membabitkan bangunan asrama jenis kekal dengan anggaran keluasan 504 meter persegi.

Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas bergegas ke lokasi sejauh 28 kilometer dan tiba pada jam 8.48 pagi.

Ketika kejadian, kira-kira 60 pelajar asrama masing-masing berada di dalam kelas, sekali gus mengelakkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.

Anggota bomba memadam kebakaran asrama SK Pinapak, Pitas.

Ketua BBP Pitas, Noor Jali Maslah berkata, sebaik tiba, anggota mendapati api sedang marak di bahagian struktur bangunan sebelum operasi pemadaman dilaksanakan secara ofensif.

“Kami menggunakan satu aliran dengan dua pancutan air dari jentera bomba. Kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.58 pagi.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan pemeriksaan susulan dijalankan bagi memastikan kawasan benar-benar selamat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Asrama SK Pinapak, Pitas yang terbakar, pagi tadi.

Menurutnya, punca kebakaran masih dalam siasatan dan perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Operasi pemadaman turut dibantu BBP Kota Marudu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). – Info X