Search

Suami hentak isteri dengan kipas angin ditahan

December 11, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki yang diburu polis sejak September lalu kerana disyaki memukul isterinya dengan kipas angin akhirnya ditahan dalam serbuan di Felda Umas, di sini, semalam.

Kejadian keganasan rumah tangga itu berlaku kira-kira jam 1.15 tengah hari pada September lalu ketika mangsa, wanita tempatan berusia 34 tahun, berada di bilik rumah mereka sebelum didatangi suaminya yang meminta RM10.

Pertengkaran kecil itu kemudian bertukar ganas apabila suspek berang dan menghentak kepala mangsa menggunakan kipas angin sehingga menyebabkan kecederaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau kemudian mengesan suspek berusia 43 tahun itu dan menahannya kira-kira jam 7.30 malam di kediaman sama.

“Semakan mendapati suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga, selain berstatus wanted person.

“Polis turut merampas sebuah kipas angin berjenama yang dipercayai digunakan ketika kejadian sebagai bahan bukti,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Champin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga. Siasatan lanjut termasuk semakan rekod lampau sedang dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Beliau menegaskan, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melakukan keganasan rumah tangga, dan tindakan tegas akan diambil tanpa mengira hubungan keluarga.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membiarkan konflik rumah tangga berlarutan hingga mengundang kecederaan, serta segera mendapatkan bantuan jika keselamatan terancam kerana sikap berdiam diri hanya membuka ruang kepada tindakan lebih agresif. – Info X