Search

Awang Kadin pemangku Presiden SAFA hingga akhir 2026

March 13, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Awang Kadin Tang, dilantik sebagai pemangku Presiden SAFA sehingga akhir tahun ini.

Setiausaha Agung SAFA, Shamsuddin Mohd Shah, berkata pelantikan itu diputuskan sebulat suara pada Mesyuarat Eksekutif SAFA selepas Presiden, Datuk Ir Shahelmey Yahya, meletakkan jawatan berkuatkuasa pada 1 Januari lalu.

Katanya, Awang Kadin memangku jawatan tertinggi badan bola sepak Sabah itu hingga tamat penggal pentadbiran semasa.

“Untuk tempoh sepanjang tahun ini tiada pemilihan baharu kerana jika diadakan sekarang, SAFA perlu mengadakan dua kali Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

“Oleh itu, kita membuat keputusan untuk mengadakan pemilihan pada hujung tahun nanti,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Shamsuddin berkata, pada AGM itu nanti, SAFA akan membubarkan barisan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) sedia ada sebelum melantik kepimpinan baharu termasuk Presiden dan Naib-Naib Presiden bagi empat tahun berikutnya.

Beliau berkata, perkembangan baharu SAFA itu juga sudah dimaklumkan kepada Pesuruhjaya Sukan Rantau Sabah.

Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan sebelum ini menggantikan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meletak jawatan sebagai Presiden SAFA pada 2023. – Info X