KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Beluran menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selalu presiden parti itu.
Menerusi satu kenyataan pada Khamis Setiausaha BERSATU Bahagian Beluran, Hamdan Tarawie, berkata parti itu pada asalnya diasaskan atas semangat perjuangan untuk mempertahankan kepentingan rakyat, memperjuang integriti politik dan membela nasib Bumiputera khususnya di Sabah.
Bagaimanapun, katanya apa yang berlaku sejak kebelakangan ini menunjukkan parti itu semakin jauh daripada matlamat asal berkenaan.
“Sebaliknya, parti kini dilihat lebih tertumpu kepada agenda peribadi untuk mengangkat Presiden sebagai ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri, sehingga segala keputusan dan tindakan dalam parti dilihat berpaksikan kepentingan itu.
“Budaya perbezaan pandangan tidak lagi diraikan, malah dilihat sebagai ancaman kepada kedudukan kepimpinan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga memandang serius pemecatan dan tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin utama parti, termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan terkini Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Wira Mas Ermieyati.
Tindakan itu, katanya jelas memperlihatkan lembaga disiplin parti digunakan sebagai alat politik untuk menyingkirkan mereka yang dilihat tidak sehaluan dengan kepimpinan tertinggi.
“Amalan ini bukan saja menjejaskan prinsip keadilan dalam parti, malah menghakis kepercayaan ahli terhadap ketelusan dan integriti proses disiplin yang sepatutnya bebas daripada pengaruh politik.
“Lebih membimbangkan, dalam keghairahan mengejar agenda politik sempit ini, isu-isu perjuangan rakyat Sabah, khususnya Bumiputera Sabah, semakin diketepikan.
“Perjuangan yang sepatutnya menjadi teras kepada kehadiran parti di Sabah kini tidak lagi diberikan keutamaan yang sewajarnya,” katanya.
Jelasnya, sebagai pemimpin akar umbi yang bertanggungjawab kepada ahli di peringkat bahagian dan masyarakat, pihaknya tidak boleh terus berdiam diri melihat parti itu menyimpang daripada perjuangan asalnya.
“Sehubungan itu, setelah mempertimbangkan keadaan ini dengan penuh tanggungjawab dan rasa berat hati, kami kesemua Ahli Jawatankuasa Bahagian Bersatu Beluran dengan ini mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan parti serta meletakkan keahlian kami dalam Parti Bersatu dengan serta-merta.
“Keputusan ini bukanlah satu keputusan yang mudah, namun ia diambil demi mempertahankan prinsip perjuangan dan maruah politik yang kami pegang selama ini.
“Kami percaya perjuangan untuk rakyat, khususnya Bumiputera Sabah, mesti diteruskan atas landasan yang lebih jujur, berprinsip dan bebas daripada kepentingan peribadi mana-mana individu,” katanya. – Info X