PENAMPANG: Orang ramai dinasihat supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan tawaran kerja yang semakin berleluasa di media sosial termasuk Facebook, Instagram mahupun aplikasi WhatsApps.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dalam laman sosial Facebook rasmi memaklumkan perkara itu adalah bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan tawaran kerja dalam talian.
“Kebiasaannya penipuan adalah berbentuk tawaran kerja sambilan untuk menjadi ejen jualan secara dalam talian. “Pihak scammer akan menggunakan ayat yang boleh menarik perhatian seperti ‘kerja mudah’, ‘hanya dari rumah’, ‘komisen lumayan’ dan sebagainya.
“Turut disertakan di dalam iklan terbabit adalah ayat yang boleh memperdaya pengguna seperti ‘hanya perlu screenshot (tangkap layar) barangan di dalam cart dan whatsapp kepada penyelia’,” katanya.
Tambahnya, scammer juga akan menyatakan pengguna hanya perlu membuat bayaran dan wang akan dikembalikan bersama komisen terbabit.
“Mereka juga akan meletakkan syarat mudah iaitu pengguna hanya perlu siapkan tugasan dalam tempoh yang diberikan.
“Sekiranya mendapat atau melihat kesemua ayat itu maka anda adalah mangsa penipuan tawaran kerja dalam talian,” katanya.
Beliau berkata, tidak terdapat syarikat yang meminta pekerja untuk membuat bayaran pendahuluan ke akaun bank individu atau syarikat.
“Lebih penting syarikat jual beli dalam talian seperti juga tidak menawarkan pekerjaan sebagai ejen jualan,” katanya.
Dalam pada itu IPD Penampang juga giat menjalankan aktiviti kepolisan komuniti bagi meningkatkan kesedaran terhadap jenayah komersil.
“Program ini sebagai satu inisiatif Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Daerah Penampang untuk menasihati masyarakat agar tidak mendedahkan maklumat diri dan akaun bank sewenangnya kepada individu yang tidak dikenali bagi mengelak menjadi mangsa scam atau penipuan.
“Melalui program ini juga, orang awam dinasihatkan untuk menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sekiranya menyedari terdapat transaksi bank yang tidak mendapat kebenaran atau tidak diingini pemilik,” katanya.
Tambahnya, talian hotline NSRC 997 ini boleh dihubungi bermula jam 8 pagi hingga 8 malam setiap hari termasuk cuti umum.
Program dijayakan oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Penampang, Inspektor Ruplan Alik bersama Pegawai Bahagian Komersil, IPD Penampang. – Info X