Kota Kinabalu: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur Senior Asistant Komisioner Habibi Majinji dianugerahkan darjah kebesaran Johan Setia Diraja (JSD) di Balairung Seri Istana Negara, baru-baru ini.
Penganugerahan darjah itu berlangsung dalam Istiadat Mengadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang Di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in.
Habibi yang juga anak jati Semporna sudah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 28 tahun antara penerima darjah, bintang serta pingat masing-masing mengikut beberapa kategori seperti perkhidmatan awam, pihak berkuasa tempatan atau badan berkanun, swasta, persatuan, sukarelawan, sukan, perkhidmatan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan perkhidmatan PDRM.

Beliau bersama dua lagi penerima iaitu Timbalan Pengarah (Perisikan Siasatan Khas) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bukit Aman, SAC Mohd Azlin Sadari serta Asistan Ketua Staf Tadbir, Pangkalan Udara Subang tersenarai sebagai penerima darjah kebesaran JSD masing-masing bagi perkhidmatan PDRM dan perkhidmatan ATM.
Sebelum ini, Habibi pernah berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sebagai Ketua Polis Daerah yang membawa banyak perubahan kepada penambahbaikan trend jenayah di ibu negeri Sabah ke arah lebih positif.
Beliau kemudian ditukarkan sebagai Asisten Komisioner Pentadbiran, Jabatan Pengurusan IPK Sabah pada 2021 sebelum menjawat jawatan KJSJ IPK Kuala Lumpur sehingga kini. – Info X