TAWAU: Tujuh pegawai dan anggota polis serta seorang awam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh seorang pemandu e-hailing di Mahkamah Tinggi di sini.
Semua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan ke atas setiap tertuduh di hadapan Hakim Dr Lim Hock Leng.
Tertuduh masing-masing iaitu Rosdi Rastam, 45, Dennis Anak Enit, 45, Fabian Anak Rungan, 44, Khairul Azman Bakar,47, Mohd Azlan Sakaran,40, Vivien Fabian,34, dan seorang lagi John Kennedy Anak Sanggah, 44, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Nurman Bakaratu,61.
Semua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 13 Januari 2023 antara jam lebih kurang 7.30 hingga 11.30 malam di Ladang Kelapa Sawit, berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5 Tawau.
Kesalahan itu, boleh membawa hukuman dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 Kanun yang sama. Jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah juga dikenakan sebat tidak kurang dari 12 sebatan.
Manakala seorang lagi tertuduh yang juga bekas Ketua Perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Senior Asisten Komisioner Datuk Mat Zaki Md Zain, 59, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan bersubahat membunuh Nurman pada tarikh, masa dan lokasi sama.
Bagi pertuduhan pertama tertuduh didakwa bersubahat dengan John Kennedy Anak Sanggah manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh didakwa bersubahat bersama enam yang lain iaitu Rosdi Rastam, Dennis Anak Enit, Fabian Anak Rungan, Khairul Azman Bakar, Mohd Azlan Sakaran, dan Vivien Fabian.
Semua pertuduhan dibacakan dibawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 puluh tahun atau tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan tidak kurang dari 12 sebatan.
Mahkamah kemudian menetapkan pada Januari sehingga April tahun hadapan untuk perbicaraan kes berkenaan.
Pihak pendakwaan dijangka akan mengemukakan seramai 25 sehingga 32 saksi dengan empat daripadanya dalam kalangan profesional manakala pihak pembelaaan pula dijangka mengemukakan sehingga 32 saksi pembelaan.
Semua tertuduh masing-masing diwakili barisan peguam bela iaitu Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Chen Wen Jye, Timothy Daut, Kimberly Ye, Dato Ansari Abdullah, Abdul Gani Zelika, Erveana Ansari Ali, Hairul Vaiyron Othman, Luke Ressa Balang, Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon, Ameer Asraaf Khairee Amin, Zahbia Ophent, dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Manakala pendakwaan pula dikendalikan Datuk Manoj Kurup, Muhamad Iskandar Ahmad, Khairul Azreem Mamat dan Low Qin Hui. – Info X