LABUAN: Seorang remaja maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Pohon Batu berhampiran Kampung Lajau, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa berusia 18 tahun itu disahkan meninggal dunia pada jam 8.35 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Nukleus Labuan.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 2.31 pagi ketika mangsa dalam perjalanan menaiki motosikal dari arah bandar menghala ke Kampung Pohon Batu melalui Jalan Pohon Batu- Kampung Lajau.
“Ketika melalui jalan berkenaan, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya sebelum terbabas lalu melanggar tiang lampu yang berada di tepi jalan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, impak kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hospital Nukleus Labuan.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 8.35 pagi akibat parah yang dialami.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Mohd Hamizi menasihatkan ibu bapa sentiasa memantau pergerakan anak manakala penunggang motosikal juga diingatkan agar memandu dengan berhemah di jalan raya. – Info X