KOTA KINABALU: Skuad wanita Sabah FA mengakhiri saingan Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) dengan mengutip satu mata menerusi perlawanan akhir peringkat kumpulan, di Wuhan, China, semalam.
Mata tunggal wakil Malaysia itu dilakar selepas mengikat Abu Dhabi Country Club dari Emeriah Arab Bersatu (UAE) dengan 2-2.
Gol pertama Sabah dihadiahkan pemain import dari Jepun, Eri Narita pada minit ke-10, manakala gol penyamaan dijaringkan pemain kebangsaan, Intan Serah pada minit ke-77.
Dalam perlawanan semalam, pasukan yang digelar Sumandak Sabah itu terpaksa bermain dengan 10 pemain bermula minit ke-26 selepas penjaga gol, Nurul Azurin Mazlan dilayangkan kad merah.
Sebelum itu, skuad bimbingan Justin Ganai itu tewas 7-0 di tangan pasukan tuan rumah, Wuhan Jiangda dan tewas 3-0 di tangan pasukan Korea Selatan, Incheon Red Angels.
Sementara itu, pada sidang media selepas perlawanan semalam, Justin menyatakan kebanggaannya terhadap semua pemain selepas berjaya mengikat Abu Dhabi walaupun bermain dengan 10 pemain.
“Saya cukup bangga dengan pemain saya yang bermain dengan 10 pemain, kalau bermain 11 orang mungkin kita dapat skor yang berbeza.
“Tapi, tahniah kepada Abu Dhabi kerana layak dengan keputusan yang baik, dengan satu kemenangan dan dua seri. Bagi saya, ia satu pengalaman yang sangat baik kepada pemain,” katanya.
Justin turut menyatakan harapannya agar skuad wanita Sabah FA dapat kembali semula ke saingan AWCL pada tahun depan dan tampil dengan lebih kuat.
“Ini pengalaman yang sangat baik kepada kita dan harap tahun depan kita dapat lagi ke peringkat ini dengan lebih kuat.
“Ini hanya permulaan dan jika layak lagi pada masa akan datang, kita akan bersedia dengan lebih baik,” katanya.
Sabah FA menjadi pasukan bola sepak wanita pertama negara layak ke perlawanan peringkat Asia. – Info X