Search

Periuk pun kau ‘tapau’

October 10, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Kegiatan seorang lelaki warga asing melakukan jenayah pecah rumah berakhir apabila dicekup polis ketika menyorong kereta sorong dengan muatan peralatan dapur yang disyaki dicuri.

Suspek berusia 24 tahun ditahan anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di Jalan Bunga Raya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, terdahulu pihaknya menerima maklumat daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC), berkaitan satu kejadian pecah rumah di Taman Lim Piang Kong, di sini jam 11.50 pagi.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, anggota polis MVP digerakkan ke lokasi dan sebaik tiba, mangsa mengatakan suspek melarikan diri dengan membawa barang yang dicuri.

“Dengan bantuan dua lagi unit MPV, polis cuba mengesan dan terserempak dengan suspek di Jalan Bunga Raya, sambil menyorong sebuah kereta sorong dengan muatan beberapa guni.

“Menyedari kehadiran polis, suspsk cuba melarikan diri serta bertindak agresif namun berjaya ditahan polis,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut di dalam guni plastik yang dibawa suspek, polis menemukan sebuah periuk pengukus dan beberapa peralatan dapur yang disyaki dicuri.

“Suspek ditahan bersama barang rampasan dan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi,” katanya. – Info X