KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Kionsom, Inanam, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa berusia lingkungan 50-an yang menaiki Perodua Axia disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala seorang lagi mangsa berusia 41 tahun parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Noor Sherriyana Bohari berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan 10 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah treler dan kereta Perodua Axia.
“Siasatan awal mendapati kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang treler,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, dua mangsa dari kereta Perodua Axia didapati tersepit sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas.
“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala seorang lagi yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan lanjut.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pemandu treler berusia 33 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Menurutnya, operasi berjaya dikawal sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.50 tengah malam selepas memastikan keadaan selamat. – Info X