TAWAU: Tiga lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes rogol membabitkan seorang remaja perempuan, di sini.
Kejadian terbongkar apabila mangsa mengadu sakit di bahagian kemaluan sebelum dibawa kakaknya ke hospital untuk pemeriksaan.
Hasil pemeriksaan lanjut doktor mengesahkan remaja itu hamil, sebelum mangsa mengaku kepada kakaknya bahawa dia pernah melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki dikenali di sebuah hotel, susulan itu satu laporan polis dibuat.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, susulan laporan itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau menjalankan operasi mengesan suspek.
Katanya, dua lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an berjaya ditahan di tepi Jalan St Patrick kerana disyaki terbabit dalam kes berkenaan.
“Hasil penahanan itu membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki warga asing berusia 29 tahun di hadapan sebuah kilang di Batu 3, Jalan Apas yang bekerja sebagai buruh.
“Semakan rekod mendapati semua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan di balai polis untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – Info X